Followers

Monday, 30 September 2019

KESALAHAN BAHASA


PETUNJUK
Ayat Pasif

  1. Kata ganti nama diri pertama: Saya/Kami/Kita,Beta, Aku, Patik
Aktif: Kami membantu jiran
Pasif: Jiran kami bantu. (BUKAN: *dibantu oleh saya/kami/kita)


Contoh Soalan dan Jawapan
(i).  Mangsa-mangsa bencana harus dibantu oleh kami untuk mengurangkan 
      penderitaan mereka.

       
      Jawapan: kami bantu


     2.  Kata ganti nama diri kedua: Kamu/engkau/awak/anda/kalian

Aktif: Kamu perlu mengulang kaji pelajaran. 
Pasif: Pelajaran perlu kamu ulang kaji. (BUKAN: *...diulang kaji oleh kamu)

Contoh Soalan dan Jawapan
(ii)   Pelajaran hendaklah diulang kaji oleh kamu secara konsisten agar berjaya 
       dengan cemerlangnya.

       Jawapan: kamu ulang kaji

     3.  Kata ganti nama diri ketiga: Dia/Ia/Mereka/Baginda/Beliau

Aktif:  Mereka menaiki kereta api.
Pasif:  Kereta api dinaiki oleh mereka. (BUKAN: *...mereka naiki)  

Contoh Soalan dan Jawapan
(iii)   Bas ekspres yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebatang pokok.

        Jawapan: dinaiki oleh mereka

PERHATIAN: SALAH SATU SOALAN YANG DIKEMUKAKAN IALAH FRASA KERJA PASIF. PASTIKAN ANDA MENGGARISKAN KESALAHAN FRASA KERJA PASIF SEPERTI YANG DINYATAKAN DI ATAS. SEKIAN.

PT3 2019: PERIBAHASA

1.  PULANG KE TENPAT ASAL
    Setelah mencapai ijazah dalam pendidikan dari Universiti Malaya, Pirdauz 
    membulat untuk pulang ke kampung halamannya untuk mendidik anak-anak 
    kampungnya.
    Peribahasa yang berikut sesuai untuk menggambarkan sikap Pirdauz,        
    kecuali
    A   seperti itik pulang petang
    B   seperti belut pulang ke lumpur
    C   tak sungguh seluang melaut, akhirnya pulang ke tepi jua
    D   setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hingga di belakang kerbau 
         juga

    JAWAPAN A: Bermaksud berjalan dengan lambat

2.  MENDAPAT BANTUAN YANG TIDAK DIDUGA
     Memandangkan perniagaan Anuar semakin berkembang,Persatuan Peniaga       Daerah Muar telah mendapatkan sebuah lot ruang niaga untuk Anuar 
     membesarkan operasi perniagaannya lagi.Tawaran itu tak diduga oleh Anuar 
     seperti kata peribahasa .......
     A   bulan jatuh ke riba
     B   mendapat durian runtuh
     C   orang mengantuk disorongkan bantal
     D   aur ditanam, betung tumbuh

     JAWAPAN C: Mendapat bantuan yang tidak diduga; memperoleh hal atau 
                          perkara yang diingini. 

Friday, 27 September 2019

KATA BANYAK MAKNA DAN CONTOH SOALAN

(i)  BOCOR
1. lubang tiris (atap, perahu, dll), lubang pancit (tayar): atap ini sudah ada ~nya
2. berlubang hingga air atau angin dapat tembus, tiris: atap ini sudah ~ benar 3. terbuka rahsia, sudah diketahui orang (rahsia dll): kertas peperiksaan tahun ini ada yg ~

CONTOH SOALAN:
I.     Sampan yang dinaiki oleh mereka mula tenggelam kerana sudah bocor 
       akibat terlanggar batu.
II.   Ayah mengupah Pak Aji untuk membaiki bumbung rumah yang bocor itu. 
III.  Jalan-jalan yang bocor itu bertakung air ketika hujan dan berbahaya 
      kepada kenderaan.
IV.  Kebanyakan kertas soalan untuk semua subjek PT3 pada tahun ini sudah 
      bocor.
A  I dan II sahaja
B  II dan IV sahaja
C  I, II dan IV sahaja
D  I, III dan IV sahaja


(ii)  MENYISIH
1 beralih ke tepi utk memberi jalan kpd orang lain; menepi: Kalau ada kereta, ~lah. 
2 menjauhkan atau mengasingkan diri ke; menyendiri: Apabila orang datang, dia segera ~ ke dlm bilik.

CONTOH SOALAN:
I.    Semenjak anak-anak sudah beranak-pinak, Mak  Bedah hidup menyisih di  
      kampung.
II.   Oleh sebab jalan itu sempit, ayah pun menyisih apabila ada kereta untuk 
      memberikan laluan.
III. Selepas bersalin pakaian, dia pun menyisih rambutnya lalu beredar. 
IV.  Apabila ada tetamu, Maziah yang cacat segera menyisih ke dalam bilik.
A  I dan II sahaja
B  II dan IV sahaja
C  I, II dan IV sahaja
D  I, III dan IV sahaja

ULASAN: JOM BERCUTI

Terdapat pelbagai cara pengangkutan yang boleh dimanfaatkan ketika melancong di negara kita. 

Contoh Isi Tersurat [1]
- Antara pakej pengangkutan ke destinasi pelancongan, yakni (nyatakan destinasi pelancongan dalam kertas soalan), ialah penerbangan yang berharga (nyatakan harga penerbangan dalam kertas soalan). 
- Ulasan [Tersirat]: Percutian melalui penerbangan bukan sahaja menjimatkan masa bahkan juga menimba pengalaman baharu, terutamanya kanak-kanak.


Contoh Isi Tersurat [2]
- Kita juga boleh melancong dengan menaiki kereta api ke destinasi pelancongan yang menawarkan tambang yang murah, yakni (nyatakan harga dalam kertas soalan) 
-Ulasan [Tersirat]: Golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah boleh memanfaatkan pengangkutan kemudahan kereta api kerana kosnya yang rendah dan menjanjikan keselesaaan.


Contoh Isi Tersurat [3]
- Kaedah pengangkutan lain yang boleh dimanfaatkan untuk melancong ialah perkhidmatan bas ekspres.
-Ulasan [Tersirat]: Bagi saya, melancong dengan menaiki bas ekspres amat berbaloi kerana menjimatkan wang dan masa.  

TEMA JUSTERU IMPIAN DI JARING

TEMA
Kehendak Soalan:
- Anda perlu memberikan tiga contoh peristiwa yang menyokong tema novel.
- Pastikan terdapat nilai ketabahan dalam tema.
- Pastikan juga terdapat nilai ketabahan diselitkan dalam contoh peristiwa yang diketengahkan.

Novel "Justeru Impian di Jaring" yang telah saya kaji di tingkatan 3 bertemakan ketabahan menghadapi cabaran sebelum berjaya. Terdapat beberapa bukti peristiwa yang dapat dikaitkan dengan tema tersebut.

Pertama, Syahir tabah menerima pandangan negatif daripada orang sekelilingnya kerana tindakannya yang menutup aurat semasa bermain badminton. Contohnya, orang ramai sering menuduh Syahir sengaja mencari kelainan untuk mengejar publisiti murahan dan digelar “kepala batu dari hulu”.

Kedua, Shayir tabah menghadapi kerenah pengadil yang tidak adil. Kekalahan Syahir dalam perlawanan terbuka Johor yang disebabkan oleh sikap pengadil yang berat sebelah semasa Syahir bertembung dengan Syed Amiri menyebabkan Syahir tidak dapat pergi ke Jakarta.

Ketiga, Syahir tabah menghadapi berita ibunya menghidap strok semasa mahu berangkat ke Jakarta. Hal ini menyebabkan dia berbelah bahagi sama ada hendak meneruskan impiannya ke Jakarta atau menjaga emaknya yang sedang sakit.
Berkat ketabahannya menghadapi cabaran hidup, Syahir telah mengharumkan nama negara dengan menjadi juara dunia.


STRATEGI MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN ANTOLOGI

Contoh Soalan dan Jawapan
Bahan 1
Boon Li sering membantu Syahir dalam mata pelajaran Matematik. Syahir pula kerap menolong Boon Li dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka bersahabat baik sejak di sekolah rendah lagi.

Bahan 2
Ali tidak pandai berenang. Dia cuba berenang di tasik berhanpiran dengan rumahnya tetapi lemas. Seorang pemuda Cina bernama KK Gong telah terjun ke tasik untuk menyelamatkan Ali tanpa mengira bangsa dan agama. 

1) Berdasarkan Bahan 1 dan Bahan 2, jelaskan cara Boon Li, Syahir dan KK Gong memberikan bantuan.
(a)  Boon Li membantu Syahir dalam subjek Matematik; Syahir membantu Boon Li dalam subjek Bahasa Melayu
(b)  KK Gong terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan Ali yang cemas-cemas mati lemas.

Jawapan yang Mantap:
Boon Li membantu Syahir dalam subjek Matematik manakala Syahir membantu Boon Li dalam subjek Bahasa Melayu. KK Gong pula terjun ke dalam tasik untuk menyelamatkan Ali yang cemas-cemas mati lemas.

2)  Huraikan satu nilai yang dapat anda peroleh daripada Bahan 1 dan Bahan 2.
Kehendak soalan:
(a) Nilai - bantu-membantu / tolong-menolong
(b) Huraian - saling membantu dalam pelajaran; membantu menyelamatkan orang yang lemas

Jawapan yang Mantap: 
Satu nilai yang dapat diperoleh daripada Bahan 1 dan Bahan 2 ialah nilai bantu-membantu. Boon Li dan Shayir saling membantu dalam usaha mengatasi masalah pelajaran. Sementara itu, KK Gong membantu menyelamatkan Ali yang nyaris-nyaris mati lemas dalam tasik.   

3)  Rakyat Malaysia mesti hidup bersatu padu. Huraikan faedah semangat perpaduan di negara kita.

Faedah-faedah semangat perpaduan:
(a) keharmonian dan keamanan
(b) ekonomi maju
(c) politik stabil
(d) pelaburan asing

Jawapan yang Mantap:
(i)  keharmonian rakyat dan keamanan tanah air terjamin
(ii) kestabilan politik terjamin 
(iii) kemantapan ekonomi terjamin
(iv) menarik pelaburan asing ke negara kita 
(v) kemajuan negara



Thursday, 26 September 2019

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN/PENDEK: SAMBUTAN HARI GURU


STRATEGI MENJAWAB

  1. Tiga (3) perenggan sahaja
  2. Perenggan: Pendahuluan + Perenggan 2: isi-isi  +  Perenggan 3 (Penutup)
  3. Panjangnya hendaklah antara 50 - 80 patah perkataan
Introduksi:
- Sempena Hari Guru, pelbagai acara didakan untuk memeriahkan majlis di sekolah saya. 

Isi-isi:
- Pertama-tama, perhimpunan diadakan di dewan sekolah. Majlis dimulakan bacaan doa oleh Ustaz Marzukhi Che Mat, kemudian disusuli oleh ucapan Pengetua dan pembacaan perutusan Hari Guru yang bertajuk ‘Guru Transformasi Pendidikan Negara’. 
- Selepas acara tersebut, acara sukaneka yang disertai oleh warga sekolah diadakan di padang sekolah. Antaranya termasuklah berlari dalam guni, mengisi air di dalam botol, merebut kerusi, dan sebagainya.  
- Selain itu, pelbagai persembahan dipertontonkan oleh murid-murid untuk memeriahkan suasana lagi. Antaranya termasuklah tarian tradisional pelbagai kaum, lakonan lawak, dan nyanyian lagu-lagu patriotik. 
- Pengetua telah menyampaikan hadiah-hadiah yang ditaja oleh PIBG kepada para pemenang dalam acara sukaneka.
- Majlis ini tamat pada pukul 12.00 tengah hari. Sebelum bersurai, murid-murid mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman dengan guru-guru sambal memberikan hadiah penghargaan.

Penutup:
- Sambutan Hari Guru diadakan saban tahun untuk mengenang jasa bakti dan pengorbanan golongan guru. 

Karangan Jenis Pengalaman: Riadah bersama keluarga

       Pada cuti persekolahan yang lepas, seisi keluarga saya seia sekata, bak kata pepatah bulat air dek pembetung, bulat manusia dek muafakat, untuk menyertai aktiviti riadah anjuran NESTLÉ OMEGA PLUS di Taman Botani Bukit Mertajam.  NESTLÉ OMEGA PLUS Walk-A-Mile 2019 menyaksikan penyertaan 500 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat.  Banyak pengalaman yang menarik dapat saya peroleh daripada aktiviti riadah ini. 
      Semasa merasmikan aktiviti gaya hidup sihat tersebut, Pengerusi Yayasan Jantung Malaysia (YJM), Datuk Dr JS Sambhi, berkata untuk mengekalkan kecergasan tidak sukar, malah murah serta boleh dilakukan semua kategori masyarakat. Katanya, set minda anda, cari masa beriadah dan lakunya secara santai, pastinya aktiviti bersama keluarga ini lebih menggembirakan. 
        Pelbagai aktiviti diadakan untuk menjayakan aktiviti tersebut, sementelahan untuk memeriahkan suasana lagi. Antara aktiviti yang menarik ialah panduan senaman ringkas “Hearty Steps”. Keluarga saya mengambil dalam aktiviti aktiviti ini yang berupa senamrobik. Kami pun menari mengikut rentak lagu yang dipimpin oleh Puan Rozita dan anak-anak buahnya. Senaman ini bukan sahaja amat menyeronokkan dan menghiburkan hati.
      Aktiviti-aktiviti riadah lain yang turut disediakan sempena gaya hidup sihat ini ialah meredah hutan. Kegiatan fizikal amat mencabar kerana terpaksa mendaki bukit dan berjalan melalui denai-denai. Sambil melepaskan penat lelah, kami bersembang-sembang sambil bersantai. Kegiatan ini amat bermakna kerana dapat bersenam dan menjalin tali ukhuwah keluarga.
      Pihak penganjur juga menyediakan aktiviti-aktiviti yang lain. Antaranya ialah pemeriksaan kolesterol, taklimat risiko kolesterol tinggi darah, dan panduan pengambilan minuman sihat untuk jantung "Hearty Boost". Kesemua aktiviti membuka mata kita tentang kepentingan gaya hidup sihat, terutama amalan riadah yang konsisten untuk menjamin kesihatan.
      Kami pun beredar dari tapak aktiviti riadah itu kira-kira 11.00 pagi dan terus menuju ke kediaman kami yang jauh sepelontar sepah. Banyak pengetahuan dan pengalaman dapat saya timba daripada aktiviti riadah ini. Saya pun membulatkan hati untuk mengamalkan aktiviti riadah saban hari agar kesihatan tubuh badan sentiasa terjamin. 



PT3: KARANGAN CONTOH JENIS RENCANA

FORMAT: RENCANA
Usaha-usaha Menggalakkan Murid Beriadah
oleh: Roslee bin Hj. Merezukhi


Introduksi yang Mantap
Ayat Rangsangan: Nyatakan tajuk karangan
- Baik disedari mahupun tidak, pada zaman persekolahan yang penuh dengan cabaran ini murid-murid mengabaikan aktiviti riadah. 
Ayat Ulasan: Nyatakan pandangan anda tentang senario tersebut
- Bagi saya, anak-anak muda yang masih di bangku sekolah seharusnya aktif beriadah untuk meredakan stres dan menyihatkan tubuh badan.
Ayat Tesis: Nyatakan tesis karangan
- Oleh itu, pihak sekolah hendaklah mengambil inisiatif untuk menggalakkan murid-murid agar beriadah ketika kelapangan.

Prenggan isi yang Mantap
Isi Pertama: Mengadakan kempen kesedaran
Ayat topik: Nyatakan idea utama
- Langkah perdana yang patut diambil oleh pihak sekolah mendorong murid-murid agar beriadah ialah kempen-kempen kesedaran hendaklah dianjurkan dari semasa ke semasa.
Ayat huraian: Huraikan idea utama
- Kempen ini dapat mencelikkan mata mereka tentang betapa pentingnya aktiviti riadah dalam kehidupan murid-murid yang penuh dengan dugaan dan tekanan.
Ayat contoh: Nyatakan contoh yang relevan dan matang
- Antara kempen kesedaran termasuklah 'Jom Beriadah untuk Kesihatan' , 'Riadah Menjamin Kesihatan' dan sebagainya yang membabitkan semua warga sekolah dan ibu bapa. 
Ayat rumus: Nyatakan kesannya
- Kempen-kempen seumpama ini dapat melahirkan warga pelajar yang sihat dan cemerlang. 

Isi kedua: Mengadakan aktiviti riadah
Ayat topik: Nyatakan idea utama
- Selain kempen kesedaran, pihak sekolah juga terpanggil untuk mengadakan aktriviti-aktiviti yang berbentuk riadah pada hujung minggu.
Ayat huraian: Huraikan idea utama
- Hal ini saya katakan demikian kerana, murid-murid berpeluang untuk beriadah bersama-sama rakan sebaya dengan hati yang girang. 
Ayat contoh: Nyatakan contoh
- Melalui aktiviti kokurikulum, pelbagai aktiviti riadah yang berfaedah dan menyeronokkan seperti perkhemahan di taman rejreasi, perkelahan di tepi laut, larian hijau, dan meredah hutan dapat memupuk minat anak-anak muda ini beriadah.
Ayat rumus: Nyatakan kesannya
- Dengan inisiatif ini, anak-anak didik yang cemerlang dalam akademik dapat dilahirkan.

Isi ketiga: Menyediakan kemudahan
Ayat topik: Nyatakan idea utama
- Langkah pihak sekolah yang seterusnya ialah pelbagai kemudahan untuk aktiviti rekreasi hendaklah disediakan. 
Ayat huraian: Huraikan idea utama
- Sekiranya sekolah tidak dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan tersebut, sudah tentuk murid-murid akan kehilangan minat untuk beriadah.
Ayat contoh: Nyatakan contoh
- Oleh hal yang demikian, pihak sekolah hendaklah memperuntukkan tapak sekolah untuk aktiviti perkhemahan, gelanggang-gelanggang dan alat-alat permainan, serta padang sekolah untuk permainan dan sukan.
Ayat rumus: Nyatakan kesannya
- Dengan ini, anak-anak didik yang sihat dan cemerlang dalam akademik dan koakademik dapat dilahirkan.

Penutup yang Mantap
Ayat kesimpulan: Membuat kesimpulan
- Akhirulkalam, usaha-usaha konstruktif yang diambil oleh pihak sekolah untuk menggalakkan murid-murid dapat melahirkan generasi muda yang sihat dari segi jasmani dan rohani.
Ayat cadangan: Nyatakan cadangan
- Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah memperuntukkan kewangan untuk mewujudkan sekolah yang kondusif untuk aktiviti riadah.
Ayat harapan: Nyatakan kesan yang diharapkan
- Dengan prakarsa ini, modal insan yang berkelas minda pertama dapat dilahirkan, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.





STRATEGI MENGARANG KARANGAN YANG EFEKTIF DAN IMPRESIF

CONTOH KARANGAN GRED CEMERLANG [1]: - FAEDAH-FAEDAH AKTIVITI RIADAH /REKREASI DALAM KEHIDUPAN KITA

STRATEGI MEMBINA INTRODUKSI YANG MANTAP
Ayat Rangsangan 1: Nyatakan definisi riadah [1]
Aktiviti riadah atau rekreasi merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan oleh masyarakat pada waktu senggang.
Ayat Rangsangan 2: Nyatakan definisi riadah [2]
- Riadah juga dapat didefinsikan sebagai kegiatan yang menyeronokkan yang boleh menyegarkan kesihatan badan semula dan melapangkan fikiran seperti bersenam, bersukan, bermain, dan sebagainya.
Ayat Ulasan: Memberikan pandangan
Sayang seribu kali sayang, aktiviti ini semakin diabaikan oleh masyarakat kita akibat desakan hidup atau sibuk dengan urusan harian masing-masing.
Ayat Tesisi/Ayat Arahan: Nyatakan tesis karangan
- Sesungguhnya, aktiviti riadah mendatangkan seribu satu faedah kepada pengamalnya. 

STRATEGI MEMBINA PERENGGAN ISI YANG MANTAP
Isi pertama: Mempererat hubungan keluarga
Ayat Topik: Nyatakan idea utama
- Tidak dapat dinafikan, aktiviti rekreasi yang membabitkan seisi keluarga dapat mempererat hubungan keluarga.
Ayat Huraian: Menghuraikan idea utama
- Hal ini dikatakan demikian kerana, kegiatan ini membolehkan interaksi yang sihat antara anggota keluarga.
Ayat Contoh: Nyatakan contoh yang relevan / logik
- Mengikut pakar motivasi Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, apabila ahli-ahli berekreasi di pantai atau taman rekreasi, mereka akan berinteraksi, berbual-bual, dan bertukar-tukar pandangan.
Ayat Rumus: Nyatakan kesannya
- Dampaknya, tali ukhuwah keluarga akan bertambah erat, dan seterusnya hidup harmoni dan bahagia.

Isi kedua: Menjamin kesihatan yang baik
Ayat Topik: Menyatakan idea karangan
- Manfaat aktiviti riadah yang seterusnya ialah kesihatan kita sentiasa terjamin.
Ayat Huraian: Huraikan idea utama
- Kegiatan bersenam atau bersukan nescaya dapat mencergaskan dan mencerdaskan otak. 
Ayat Contoh: Nyatakan contoh untuk mengukuhkan hujah 
- Sebagai guru jasmani sekolah, Encik Zamzam selalu menyeru anak-anak didiknya agar bermain badminton, bola keranjang, bola sepak, dan bola tampar untuk menyihatkan tubuh badan.
Ayat Rumus: Nyatakan kesannya
- Dengan ini, kita dapat menjalankan kegiatan harian dalam keadaan yang sihat.

Isi ketiga: Meredakan tekanan
Ayat Topik: Nyatakan idea utama
Bukan itu sahaja, aktiviti riadah yang dilakukan secara konsisten dapat meredakan tekanan yang dihadapi oleh setiap individu.
Ayat Huraian: Huraikan idea utama
- Kehidupan yang penuh dengan stres dapat dikurangkan sekiranya kita aktif beriadah ketika kelapangan.
Ayat Contoh: Nyatakan contoh
- Sebagai misalan, berkhemah ataupun berpiknik di tepi laut bersama-sama rakan sebaya ataupun rakan sekerja dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi di sekolah mahupun di tempat kerja.
Ayat Rumus: Nyatakan kesannya
- Sebagai kesannya, kita dapat mengecap nikmat kesejahteraan.   

STRATEGI MEMBINA PENUTUP YANG MANTAP
Ayat Kesimpulan: Membuat kesimpulan
- Intihanya, aktiviti riadah memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan kita yang penuh dengan dugaan dan cabaran.
Ayat Cadangan: Menyatakan cadangan
- Oleh itu, setiap individu hendaklah mengambil inisiatif untuk mengamalkan riadah untuk mengisi waktu senggang. Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Ayat Harapan: Menyatakan kesan yang diharapkan
- Melalui amalan riadah, kesihatan, kebahagiaan, dan kesejahteraan hidup senantiasa terjamin. Rakyat sihat, negara maju!

Sunday, 22 September 2019

Rencana: Kepentingan Riadah



Introduksi yang Mantap


[Ayat Rangsangan] Bagai bersuluhkan tengah hari bahawa pada era globalisasi yang penuh tepu dengan dugaan dan cabaran ini, kepentingan kegiatan riadah dalam kehidupan kita tidak dapat dinafikan. 
[Ayat Ulasan]Hal ini dikatakan demikian kerana kehidupan manusia pada zaman pascakemerdekaan ini penuh dengan stres akibat mengejar kekayaan material sehingga menjejaskan kesihatan manusia.
[Ayat Tesis]Persoalannya, apakah kepentingan riadah dalam kehidupan kita? Persoalan inilah yang berlegar-legar dalam gawang minda kita. 


PETUNJUK:
  • Introduksi yang mantap terdiri daripada 3 elemen, yakni tajuk, ulasan, dan tesis atau tugasan.
  • Ayat #1 (ayat rangsangan) mengungkapkan tajuk yang menjadi topik perbincangan.
  • Ayat #2 (ayat ulasan) mengulas apa-apa diperkatakan dalam ayat rangsangan.
  • Ayat #3 (ayat tesis) menyatakan tesis atau tugasan karangan.
  • Kepanjangan introduksi hendaklah antara 50 - 60 patah perkataan.

Perenggan Isi yang Mantap

Isi Pertama: Mengisi kelapangan
[Ayat Topik] Kebaikan aktiviti riadah yang seterusnya ialah kita dapat mengisi kelapangan.
[Ayat Huraian + Contoh] Pada era teknologi maklumat dan komunikasi ini, masyarakat asyik berjinak-jinak dengan media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp, Twitter, dan WeChat daripada bersenam, mendaki bukit, dan bermain badminton untuk memenuhi waktu terluang. 
[Ayat Huraian] Budaya “melepak” dalam media sosial bukan sahaja membuang masa bahkan juga menjadikan kita malas.
[Ayat Penyimpul] Oleh itu, semolek-moleknya kita beriadah bersama-sama sahabat handai, keluarga, rakan sebaya, dan rakan sekerja.


Isi Kedua: Menyihatkan tubuh badan
[Ayat Topik]  Bahawa aktiviti riadah atau rekreasi dapat menyihatkan tubuh badan kita tidak dapat disangkal.
[Ayat Huraian] Dengan erti kata lain, kegiatan fizikal atau jasmani ini bukan sahaja dapat mencergaskan tubuh badan bahkan juga mencerdaskan otak.
[Ayat Contoh] Oleh itu, Menteri Kesihatan kita berbuih-buih mulut menyeru rakyat agar berbasikal, berjoging, berenang, dan meredah hutan.

[Ayat Penyimpul] Alangkah baiknya, kita aktif beriadah agar kesihatan kita senantiasa baik.

Isi ketiga: Meredakan stres
[Ayat Topik] Akhir sekali dan tidak kurang mutahaknya, kegiatan riadah dapat meredakan stres kita.
[Ayat Huraian] Bukankah dunia ini penuh dengan stres?
[Ayat Contoh]Ibu bapa terpaksa beban yang berat untuk mencari sesuap nasi dan seteguk air untuk menyara keluarga. Anak-anak pula terpaksa menghadiri sekolah, tuisyen, kokurikulum, kelas muzik, dan sebagainya.
[Ayat Huraian] Jika melakukan riadah, kita dapat merehatkan otak dan menerangkan jiwa.

[Ayat Penyimpul] Lantaran itu, kita perlu mengamalkan riadah saban hari untuk mengurangkan tekanan hidup. 

Isi keempat: Mengeratkan hubungan keluarga
[Ayat topik] Kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa aktiviti riadah juga dapat menjalin tali silaturahim seisi keluarga.
[Ayat huraian] Bukankah dewasa ini serumah sibuk dengan tanggungjawab masing-masing?
[Ayat contoh] Contohnya, ibu bapa sibuk dengan kerjaya manakala anak-anak sibuk dengan pembelajaran.
[Ayat huraian + contoh] Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil prakarsa untuk mengajak seisi keluarga berkelah sambil bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan di sungai atau tasik untuk mempererat tali ukhuwah keluarga.
[Ayat penyimpul] Dengan ini, keluarga yang bahagia dan harmoni dapat dilahirkan.

PETUNJUK:
  • Perenggan isi perlu mengandungi 3 elemen, yakni idea/isi, pengembangan, dan rumusan.
  • Ayat #1 (ayat topik) menyatakan idea karangan.
  • Ayat #2 + 3 (ayat huraian dan contoh) pula menghuraikan idea utama.
  • Ayat 4 (ayat rumus/penegas/penyimpul) menyatakan rumus atau penegasan atau cadangan atau kesan.
Penutup Karangan yang Mantap
[Ayat Kesimpulan] Sebagai intiha bicara, amalan riadah mendatangkan kemaslahatan-kemaslahatan  kepada pengamalnya.
[Ayat Cadangan] Tegal itulah, kita hendaklah menjadikan aktiviti riadah sebagai rutin kita untuk hidup bahagia dan sejahtera.
[Ayat Harapan]Dengan ini, keluarga yang cemerlang, masyarakat yang gemilang, dan negara yang terbilang dapat direalisasikan.

PETUNJUK:

  • Perenggan penutup juga perlu mengandungi 3 elemen, yakni kesimpulan, cadangan dan harapan
  • Ayat #1 (ayatkesimpulan) menyimpulkan seluruh karangan.
  • Ayat #2 (ayat cadangan) mencadangkan tindakan yang perlu diambil.
  • Ayat#3 (ayat harapan ) menyatakan kesan yang diharapkan.

Monday, 16 September 2019

KARANGAN RANGSANGAN GRED CEMERLANG [1]

         [Ayat Rangsangan] Tidak dapat dinafikan, remaja cemerlang mencapai prestasi yang gilang-gemilang dalam bidang akademik dan koakaemik. [Ayat RangsanganMereka yang merupakan modal insan yang berkelas minda pertama merupakan aset utama nusa dan bangsa. [Ayat Tesis] Apakah jati diri remaja cemerlang? Persoalan inilah yang berlegar-legar dalam gawang minda kita. 
          [Ayat Topik:Idea]   Antara jati diri perdana remaja cemerlang ialah gigih berusaha dalam bidang akademik. [Ayat Pengembangan:HuraianMereka bertungkus lumus kerana mereka menyedari bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. [Ayat Pengembangan:Huraian] Pakar motivasi yang tersohor, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, menegaskan bahawa seandainya hendak menempa kecemerlangan dalam bidang akademik, remaja hendaklah memeras benak secara konsisten kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. [Ayat Penegas]  Bagai bersuluhkan tengah hari, usaha tangga kejayaan merupakan jati diri remaja cemerlang.   
          [Ayat Topik] Jati diri remaja cemerlang yang seterusnya ialah berhemah tinggi. [Ayat Pengembangan: HuraianBukahkah yang merah itu saga, yang kurik itu kundi; yang baik itu budi, yang indah itu bahasa?  [Ayat PengembanganOleh itu, mereka senantiasa berbudi bahasa dalam interaksi, berkelakuan sopan, beramah-tamah, mudah menyesuaikan diri dalam situasi baharu, dan tidak memilih status dalam pergaulan. [Ayat PenegasTegasnya, remaja yang cemerlang sentiasa berhemah tinggi untuk menjaga imej diri, keluarga yang tersayang, dan tanah tumpah darah yang tercinta. 
           [Ayat TopikSelain kaya dengan budi bahasa, remaja cemerlang turut taat pada ajaran agama. [Ayat Pengembangan: HuraianMereka berpegang pada larangan dan suruhan Allah kerana orang-orang yang soleh mengetahui yang mana intan, yang mana kaca; yang mana jernih, yang mana keruh.  [Ayat Pengembangan: ContohDi samping menunaikan solat, mereka mengucapkan kesyukuran, memohon keampunan, memanjatkan doa, bercakap benar, beramal, dan berpuasa. [Ayat PenyimpulIzharlah, remaja yang cemerlang senantiasa berbekalkan didikan agama di dada sebagai pedoman hidup. 
              [Ayat KesimpulanIntihanya, remaja yang cemerlang mempunyai ciri-ciri yang positif yang perlu untuk menjadi anak watan yang berguna kepada nusa dan  bangsa. [Ayat Cadangan] Oleh itu, ibu bapa hendaklah bersendel bahu dengan pihak sekolah untuk melahirkan anak-anak watan yang cemerlang, bukannya melahirkan ‘robot’ yang miskin nilai-nilai kemanusiaan.[Ayat Harapan] Dengan ini, lahirlah generasi muda yang cemerlang. Bukankah benih yang baik kalau jatuh ke laut akan menjadi pulau?

TIP PT3: KEGUNAAN SERAI

RINGKASAN: KEGUNAAN-KEGUNAAN SERAI Berikut merupakan isi-isi penting untuk RINGKASAN: Dijadikan penyedap makanan Dijadikan sebagai ubat...